Saturday, December 25, 2010

Sejarah Mata Wang


Sejarah Mata Wang

Sejarah wang merupakan suatu perjalanan cerita yang menjangkaui tempoh ribuan tahun dan pada hari ini kajian saintifik mengenai wang dan sejarahnya dipanggil ilmu numismatik.

Salah satu ciri wang atau duit ia mestilah barang yang kurang penawaran atau sukar didapati. Banyak barang yang telah digunakan sebagai wang, daripada logam berharga dan cangkerang yang memang sukar dijumpai kepada rokok dan seterusnya wang yang dicipta manusia seperti wang kertas. Wang moden (dan kebanyakan wang purba juga) sebenarnya hanyalah sebagai simbol dalam erti kata lain, konsep abstrak. Hari ini, wang kertas adalah bentuk wang yang paling lazim digunakan. Walau bagaimanapun, benda-benda lain seperti emas atau perakmengekalkan kebanyakan ciri penting sebagai wang.


KEMUNCULAN WANG

Asal usul wang purba mungkin telah wujud sekurang-kurangnya 100,000 tahun dahulu. Sejarah perkembangan wang bermula dengan evolusi tamadun manusia itu sendiri iaitu kira-kira 2000 tahun sebelum masihi.

Sebelum kewujudan konsep wang, manusia menggunakan sistem barter tidak cekap. Oleh kerana ketidakpuasan manusia terhadap sistem tukar barang atau barter, maka satu sistem pertukaran yang menggunakan satu 'benda' sebagai perantaraan dicipta. Keupayaan wang membebaskan manusia dari kerumitan sistem barter membawa kepada penggunaan wang sebaik sahaja wujud barang yang boleh diterima umum.


WANG KOMODITI

Revolusi wang dimulakan dengan wang komoditi. Peringkat penggunaan wang komoditi bermula apabila masyarakat merasakan terlalu banyak kelemahan dalam sistem barter. Mereka mencari satu alat lain untuk menggantikan kelemahan tersebut dengan memilih satu alat yang sukar untuk diperolehi serta mempunyai nilai di kalangan masyarakat. Pada mulanya mereka memilih alat-alat seperti barang perhiasan untuk dijadikan sebagai alat pertukaran. Antara barang-barang yang digunakan ialah:

  1. Biji-biji manik (biasanya diperbuat dari kaca, tanah liat, batu akik dan unam.)
  2. Kulit-kulit binatang
  3. Pedang
  4. Cerek (bahan tembaga)
  5. Tombak
  6. Tempayan (yang merupakan simbol atau status kekayaan pada era tersebut)
  7. Meriam kecil tembaga

KEMUNCULAN DUIT SYILING & WANG LOGAM

Penemuan batu uji kecil membawa kepada penciptaan syiling berasaskan kepada bahan logam komoditi. Apa saja logam lembut boleh diuji ketulenannya di atas batu uji yang membolehkan seseorang mengira jumlah kandungan sesuatu logam dengan cepat dalam satu ketulan. Emas adalah logam lembut yang juga sukar didapati, padat dan senang disimpan. Kerana ini, penggunaan emas sebagai wang tersebar dengan cepat dari Asia Kecil, tempat di mana ia digunakan dengan meluas, ke seluruh dunia.

Wang logam dicipta untuk menggantikan wang komoditi yang kurang sesuai peranannya sebagai wang. Selain emas, antara logam yang pernah digunakan sebagai wang logam adalah besi, timah, perak dan tembaga. Antara logam-logam ini, emas dan perak merupakan logam yang paling popular dan diguna secara meluas di seluruh dunia.


WANG KERTAS

Wang kertas diperkenalkan untuk mengatasi kelemahan wang logam yang berat untuk menjalankan urusniaga. Wang kertas pada mulanya dalam bentuk satu resit yang digunakan sebagai bukti simpanan emas dan perak dengan tukang emas. Resit ini secara tidak langsung memberitahu bahawa ia boleh ditukarkan kepada duit syiling emas dan perak yang sebenar.

Piawaian Emas (1880-1914)

Sistem kewangan yang digunakan kira-kira pada tahun 1880 hingga tercetusnya Perang Dunia I dikenali sebagai Gold Standard atau piawaian emas. Ciri utamanya ialah ia merupakan sistem kadar pertukaran tetap yang nilai paritinya ditetapkan berdasarkan kepada nilai emas.

Melalui sistem ini, emas diperlukan hanya sebagai aset rizab. Wang kertas boleh ditukarkan kepada emas di bank pengeluar pada nisbah tertentu.

Tempoh antara peperangan (1918-1939)

Ketika meletusnya Perang Dunia I, keperluan kewangan menjadi amat besar dan hanya dapat dipenuhi dengan pengeluaran lebih banyak wang. Bagi mengelakkan kesan yang tidak diingini kepada pasaran domestik, kebanyakan negara membatalkan peraturan piawaian emas. Pada 1933 hanya lima negara yang dikenali Gold Bloc (Perancis, Belgium, Belanda, Itali dan Switzerland) masih mengamalkan piawaian emas. Namun pada 1936 sistem ini berakhir apabila berlaku penurunan nilai matawang Perancis dan Switzerland.


WANG FIAT

Wang fiat merujuk kepada wang yang tidak disandarkan kepada rizab komoditi. Nilai wang fiat diberikan melalui perintah kerajaan yang menguatkuasakan wang fiat sebagai tender sah di sisi undang-undang di mana si penghutang boleh membayar hutang mereka dengan wang fiat tanpa perlu risau tidak diterima.

Pada tahun 1971, Amerika Syarikat bertukar kepada wang fiat. Pada ketika inilah, kebanyakan ekonomi negara-negara maju menyandarkan mata wang mereka kepada dolar Amerika Syarikat (Persidangan Bretton Woods). Dengan ini kebanyakan ekonomi negara barat dan dunia keseluruhannya bertukar kepada sistem yang berasaskan wang fiat.


WANG KREDIT


Wang kredit muncul bersama dengan kemunculan wang fiat dan wang komoditi. Kebanyakan bentuk wang dalam sistem ekonomi barat adalah wang kredit yang berasal dari wang fiat.

Penggunaan wang kredit berkembang dengan kemunculan kad kredit yang membolehkan orang ramai membeli secara kredit tanpa perlu wang yang banyak. Dalam sistem ekonomi moden, bank akan meminjamkan wang melebihi dari rizab yang ia ada pada sesuatu masa. Dengan melakukan perkara ini, bank akan meningkatkan bekalan wang melebihi jumlah wang fiat yang ada. Walaupun bank tidak mempunyai wang fiat yang cukup jika sekiranya penyimpan mahu mengeluarkan semua wang mereka dalam akaun semasa (wang kredit), kebanyakan transaksi adalah dilakukan melalui cek atau secara elektronik.


Sumber : Encik Wikipedia

No comments:

Post a Comment